Polis tahan lelaki bawa senjata dan syabu masuk sekatan jalan raya PKP

Suspek merupakan antara lima warga tempatan dan empat warga asing yang ditahan sepanjang OP COVID-19 yang dijalankan pada 6 dan 7 April.

Suspek merupakan antara lima warga tempatan dan empat warga asing yang ditahan sepanjang OP COVID-19 yang dijalankan pada 6  dan 7 April. - Foto: PDRM | Astro Awani
Seorang lelaki ditahan kerana membawa dadah serta senjata ketika melalui sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 di Pesiaran Surian, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, suspek berusia 21 tahun itu ditahan pada 8 malam, pada Isnin.

"Suspek menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna biru melalui sekatan jalan raya ditahan kerana anggota polis menjumpai sebilah pisau diselit di bahagian belakang kiri badan suspek.

"Turut dijumpai dua paket plastik lutsinar yang berisi dadah disyaki jenis syabu di dalam poket baju sejuk dipakai suspek serta sebatang besi panjang yang telah diubah suai di motosikal suspek," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Justeru itu, Nik Ezanee berkata suspek telah ditahan dan barangannya telah dirampas oleh anggota polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan, Akta Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 39(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Nik Ezanee berkata suspek merupakan antara lima orang warga tempatan dan empat orang warga asing yang ditahan sepanjang OP COVID-19 yang dijalankan pada 6 dan 7 April.

"Antara warganegara ditahan termasuk Sierra Leonean, Myanmar dan Indonesia berumur antara 21 hingga 35 tahun.

"Kesemua mereka ditahan di bawah Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020," jelasnya.

Justeru, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang memasuki fasa kedua mulai 1 April, ujarnya.