Polis buru dua individu loloskan diri dari ditahan

Kejadian tembakan dan kejar-mengejar antara polis dan suspek di Kulai petang semalam juga tular di laman sosial.

MOHD KHALIL KADER: Kita perlu mengesan suspek jika dia ada terlibat dalam apa-apa jenayah atau tidak. - BERNAMA/Fail | Astro Awani
Polis Johor kini giat mengesan dua lelaki pemandu sebuah kereta Proton Wira yang cuba meloloskan diri ketika ditahan pihak polis.

Kejadian tembakan dan kejar-mengejar antara polis dan suspek di Kulai petang semalam juga tular di laman sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd memaklumkan, ketika kejadian, dua lelaki yang merupakan suspek dikatakan melarikan diri semasa diarahkan berhenti untuk pemeriksaan dengan memasuki ke dalam semak sehingga ke Taman Murni Jaya di Layang-Layang, Kluang.

"Kenderaan tersebut tidak dilaporkan curi dan juga tidak ada benda yang menyalahi undang-undang dalam kenderaan itu. Tetapi, akibat perbuatan dia memandu secara melulu, membahayakan orang lain dan tidak mengikut arahan polis untuk berhenti, kita perlu mengesan orang ini untuk mengetahui jika dia ada terlibat dalam apa-apa jenayah atau tidak," katanya.


Sebelum itu, kereta yang dinaiki dua lelaki terbabit dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persiaran Putri di Kulai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.