PKPP: 36 individu ditahan,18 dikesan terlibat aktiviti sukan sentuh - Ismail Sabri

Ismail Sabri berkata pasukan tindakan Operasi Pematuhan melakukan 64,434 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

Setakat semalam, Ismail Sabri berkata pasukan tindakan Operasi Pematuhan melakukan 64,434 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP. - Gambar fail/BERNAMA | Astro Awani
Seramai 36 individu ditahan dan diberikan kompaun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jumaat kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Daripada jumlah tersebut, 18 individu dikesan terlibat dalam aktiviti sukan sentuh yang dilarang dalam tempoh tersebut, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara, dua individu terlibat dalam aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial dan 16 lagi melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Setakat semalam, Ismail Sabri berkata pasukan tindakan Operasi Pematuhan melakukan 64,434 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

"Sebanyak 2,630 pasukan pematuhan membabitkan 12,396 anggota membuat pemantauan di 3,949 pasar raya, 5,673 restoran serta 1,977 penjaja, 1,159 kilang, 3,718 bank dan 901 pejabat kerajaan.

"Juga 1,302 terminal pengangkutan darat, 248 terminal pengangkutan air serta 93 terminal pengangkutan udara telah dipantau oleh Task Force Operasi Pematuhan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata PDRM telah mengadakan 65 sekatan jalaran raya Operasi benteng di seluruh negara dan memeriksa 32,106 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ujarnya, seorang warga asing telah berjaya ditahan oleh PDRM kerana kesalahan imigresen.