PKP: SOP beri kelonggaran di zon hijau dijangka diumum minggu depan

Pada peringkat awal, kelonggaran PKP tersebut kemungkinan dibuat secara berperingkat dan terhad untuk dalam kawasan sahaja.

Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini dalam peringkat akhir untuk membentangkan perkara tersebut. Gambar fail. | Astro Awani
Kerajaan dijangka mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) khas mengenai kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan pergerakan penduduk di kawasan zon hijau pada minggu depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini dalam peringkat akhir bagi membentangkan perkara tersebut.

Jelas beliau, pada peringkat awal, kelonggaran PKP tersebut kemungkinan dibuat secara berperingkat dan terhad untuk pergerakan dalam kawasan sahaja.

"Contohnya dalam kawasan projek perumahan awam (pangsapuri), jika sepanjang PKP ini semua penduduk didapati tiada gejala, mungkin kita benarkan mereka bawa anak-anak turun dari blok tapi tidak keluar dari kawasan itu.

"SOP yang dikeluarkan mungkin akan menentukan giliran blok dan masa yang akan ditetapkan. Ini semua sedang dirangka dan MKN sedang mendapatkan input daripada semua kementerian.

"Minggu depan kita boleh muktamadkan input yang dikaji oleh MKN bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kita akan umumkan nanti,” katanya pada sidang media harian, di sini pada Selasa.


Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengulas mengenai pertimbangan untuk melanjutkan operasi kedai makan sehingga jam 10 malam bagi kemudahan tempahan pelanggan berbuka puasa dan bersahur.

Jelasnya, perkara itu mungkin dipertimbangkan dalam SOP baharu membabitkan zon hijau, selain pertimbangan sama boleh dibuat bagi operasi premis pajak gadai.

"Setakat ini operasi kedai makan masih kekal dengan SOP lama iaitu sehingga jam 8 malam. Pelanggan perlu buat tempahan lebih awal.

"Namun SOP berdasarkan zon akan dipertimbangkan. Jadi mungkin boleh dipertimbangkan untuk zon hijau nanti. Tapi kena tunggu SOP (dibentangkan) MKN nanti.

"Ini termasuk juga kedai pajak gadai. Ar-Rahnu jika dalam Bank Rakyat, mungkin kita boleh benarkan dibuka. Tentang kedai pajak lain... belum dibuka tapi kita akan lihat perkara ini dalam SOP zon hijau dikeluarkan nanti,"katanya.