PKP hampir sebulan kurangkan penularan COVID-19 - Muhyiddin

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membantu petugas kesihatan mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membantu petugas kesihatan mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil. Gambar fail/ Bernama. | Astro Awani
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membantu petugas kesihatan mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang stabil, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, unjuran Kementerian Kesihatan menunjukkan PKP yang dilaksanakan hampir sebulan sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.

"Dengan usaha yang telah dibuat, kes positif COVID-19 terkawal pada kadar tujuh peratus iaitu di bawah benchmark 10 peratus ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kadar kematian akibat wabak ini juga rendah, iaitu 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian di peringkat dunia.

"Setakat ini seramai 1,830 orang pesakit telah keluar dari hospital. Ini bermakna 43 peratus pesakit COVID-19 telah pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes.

"Jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Jumaat.

Jika trend penurunan ini berterusan sepanjang tempoh dua minggu akan datang, Perdana Menteri yakin negara akan dapat mengawal wabak COVID-19 ini daripada menular.

"Namun, kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku. Penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.

"Malahan, usaha mencegah wabak ini mesti diperhebatkan bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan. Ini termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang dikenal pasti menjadi punca penularan," tambahnya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKP fasa pertama bermula dari 18 hingga 31 Mac, diikuti dengan fasa kedua dari 1 April hingga 14 April.

Terbaharu, kerajaan mengumumkan PKP fasa ketiga yang akan bermula 15 April hingga 28 April ini.