Petugas CPRC adalah pekerja belakang tabir yang perlu dihargai - KP Kesihatan

Sejak pandemik COVID-19, masyarakat mula mengenali peranan penting yang dimainkan oleh CPRC khususnya dan Kesihatan Awam secara amnya.

Dr Noor Hisham (tiga kiri) meluangkan masa bersama petugas CPRC negeri dari seluruh negara melalui sesi sidang video sebelum Mesyuarat Harian CPRC pada Isnin. Facebook Noor Hisham Abdullah | Astro Awani
Petugas Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) adalah antara pekerja di belakang tabir yang perlu dihargai kerana mereka turut bertugas sepanjang musim perayaan serta mengorbankan masa bersama keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak berlakunya pandemik COVID-19, masyarakat mula mengenali peranan penting yang dimainkan oleh CPRC khususnya dan Kesihatan Awam secara amnya.

"Semua pihak perlu mengambil berat akan kepentingan kesihatan awam. Petugas CPRC juga mengumpul, menganalisa dan melapor data harian semua kejadian wabak dan bencana di seluruh negara yang diterima dari lapangan bagi pelaporan setiap hari.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua petugas CPRC di seluruh negara yang bertungkus lumus siang malam, tujuh hari seminggu termasuk cuti umum dan hujung minggu bagi merancang, menyelaras dan melaksana pelan kesiapsiagaan dan respons KKM di peringkat ibu pejabat, Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, hospital, klinik dan lapangan," katanya.

Dr Noor Hisham melalui Facebook rasminya berkata, beliau sempat meluangkan masa bersama petugas CPRC negeri dari seluruh negara melalui sesi sidang video sebelum Mesyuarat Harian CPRC pada petang Isnin.

-- BERNAMA