Pesara TNB didakwa menipu RM65,000

Tertuduh Ammeran Abu, 64 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah. - Astro AWANI | Astro Awani
Seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta wang sebanyak RM65,000 daripada sebuah syarikat di Pulau Pinang empat tahun lepas.

Tertuduh, Ammeran Abu, 64 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tapak parkir di pejabat TNB, Bandar Perda, Bukit Mertajam di antara bulan Mei dan Jun 2016.

Tertuduh didakwa telah menipu dan memperdayakan Ang Peng Tiong untuk mempercayai bahawa tertuduh akan membantu mengurangkan jumlah bayaran tuntutan bagi amaun kerugian hasil dan perbelanjaan, serta caj berkaitan, termasuk 6 peratus cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akibat mengganggu/mengubahpinda/merosakkan pepasangan meter TNB yang dikenakan terhadap syarikat Osmo Packaging Sdn Bhd supaya tidak melebihi RM100,000.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah meminta wang sebanyak RM10,000 pada 24 Mei, 2016.

Manakala mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa meminta RM20,000 dan RM35,000 daripada orang sama pada 1 Jun, 2016 dan 8 Jun, 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda.

Bagaimanapun, tertuduh ditawarkan tiga pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan bagi kesemua pertuduhan itu yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azlan Basri dan S Selvaranjini manakala tertuduh diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula 26 Ogos depan.