Perunding psikiatri buat gangguan seksual terhadap mangsa rogol

Hospital Thomson Kota Damansara mengesahkan telah menamatkan perkhidmatan pakar psikiatri itu setelah kes tersebut berlaku.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan laporan polis telah dibuat terhadap seorang pakar psikiatri sebuah hospital swasta di Kota Damansara atas tuduhan gangguan seksual terhadap pesakit | Astro Awani
Satu laporan polis telah dibuat terhadap seorang pakar psikiatri sebuah hospital swasta di Kota Damansara atas tuduhan gangguan seksual terhadap seorang pesakit yang juga mangsa rogol.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan laporan terhadap pakar psikiatri itu.

“Kami sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan individu, katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Difahamkan, perunding psikiatri itu telah menghantar perbualan serta gambar berbaur lucah menerusi aplikasi mesej ‘WhatsApp’ terhadap mangsa yang masih dalam keadaan trauma itu.

Sementara itu, Hospital Thomson Kota Damansara dalam satu kenyataan mengesahkan telah menamatkan perkhidmatan pakar psikiatri itu setelah kes tersebut berlaku.

“Pihak hospital pada awalnya telah menggantung pakar psikiatri tersebut pada 6 Julai sementara menunggu siasatan dalaman berikutan aduan dari pesakit tersebut.

“Selepas siasatan dijalankan, pihak pengursan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan psikiatri berkuat kuasa Isnin lepas (15 Julai),” kata kenyataan tersebut.