Perjanjian air: 3 sen? Nak beli nasi lemak pun tak cukup - Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan nilai penjualan air mentah dari Malaysia ke Singapura tidak berpatutuan.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan nilai penjualan air mentah dari Malaysia ke Singapura sebagai tidak berpatutan. -Gambar hiasan | Astro Awani
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan nilai penjualan air mentah dari Malaysia ke Singapura sebagai tidak berpatutan.

Beliau memberi indikasi bahawa nilai 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah tidak munasabah pada masa kini.

“Air kita jual kepada Singapura masih 3 sen untuk 1,000 gelen. 1,000 gelen dengan nilai 3 sen, nak beli nasi lemak pun tak boleh,” katanya pada Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut pada sidang media, Dr Mahathir berkata rundingan dengan Singapura akan diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bersama wakil kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri Johor.

“Kita berpendapat bahawa harga 3 sen untuk 1,000 gelen ditentukan pada 1926. Pada masa itu, 1 sen boleh beli banyak barang, itu yang saya maksudkan. Jadi waktu ini 1 sen tak boleh beli apa; 3 sen pun tak boleh beli apa-apa. Sepatutnya harga sesuatu barang itu mengikut keadaan semasa.

“Jadi kalau kita nak kira harga yang ditentukan pada 1926 masih kekal sehingga tahun 3000, adakah munasabah? Saya rasa tak munasabah. Sampai bila (harga itu kekal)?” katanya.

Pada Julai tahun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata kerajaan Johor akan menjual air mentah kepada Singapura pada nilai yang berpatutan sesuai dengan keadaan semasa.

Nilai tersebut mungkin sama dengan nilai air mentah yang dijual kepada Melaka iaitu 1,000 gelen dengan kadar 50 sen atau kurang.

Nilai baharu itu tidak akan sama dengan nilai jualan sedia ada sekarang kepada Singapura iaitu 3 sen bagi 1,000 gelen air mentah.

Sebelum itu, Dr Mahathir ada menyebut tentang harga semasa jualan air mentah kepada Singapura yang ‘tidak masuk akal’ dan mahu membuat rundingan semula tentang perkara itu.

Mengikut perjanjian air semasa yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan air mentah kepada Singapura sebanyak 250 juta gelen setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.

Kemudian, Malaysia membeli semula air yang telah dirawat dari republik itu pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.