Perangi COVID-19: Sarawak lancar aplikasi COVIDTrace dan Qmunity

Dua aplikasi telefon pintar bagi mengesan kontak rapat COVID-19 dilancarkan secara rasmi di Sarawak pada Jumaat.

Abong Johari berkata, aplikasi itu merupakan teknologi yang sangat penting sebagai alat membantu Sarawak memutuskan rantaian COVID-19. | Astro Awani
Dua aplikasi telefon pintar bagi mengesan kontak rapat COVID-19 dilancarkan secara rasmi di Sarawak pada Jumaat.

Dua aplikasi itu, COVIDTrace dan Qmunity dibangunkan Sarawak Multimedia Authority (sma) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (Sains).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, aplikasi itu merupakan teknologi yang sangat penting sebagai alat membantu Sarawak memutuskan rantaian COVID-19.

"Salah satu aplikasinya ialah Qmunity untuk komuniti perniagaan menyimpan data dan mengesan kes COVID-19. Seterusnya COVIDTrace untuk mengesan kes import virus it. Ramai individu pulang ke Sarawak dan ini akan mengundang gelombang kedua jangkitan COVID-19 kerana kita tidak tahu mereka dijangkiti," katanya.

Beliau berkata demikian kekita pelancaran aplikasi itu pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Selain itu, tambah Abang Johari, semua data akan disimpan dan diuruskan menerusi pengesanan kod QR.

Katanya, ia sekali gus memudahkan pihak berkuasa mengesan individu yang ada kontak rapat dengan kes positif COVID-19.

"Apabila kita tahu individu yang dijangkiti kita cuba untuk memutuskan rantaiannya. Kita mudah mengetahui data-data itu dengan maklumat data yang ada di pusat penyimpanan," katanya.

Pengesanan kod QR itu juga memudahkan pihak yang enggan berkongsi maklumat ketika memasuki sesuatu premis perniagaan.

Kedua-dua aplikasi ini boleh dimuat naik di Google playstore dan Apple Appstore.