Perak bakal buat penambahbaikan dalam pengurusan sisa pepejal

Paul Yong Choo Kiong berkata penambahbaikan itu termasuk mempertingkatan sistem pengurusan seperti penggunaan teknologi tinggi.

Xavier (depan tiga, kanan) ketika melawat tapak paip pecah di Tapak Lebuhraya WCE Shahpadu, Klang, 7 Mei, 2019. - Foto BERNAMA | Astro Awani
Kerajaan Negeri Perak akan membuat penambahbaikan di semua tapak pelupusan sampah yang ada dalam memastikan pengurusan sisa pepejal tidak mencemarkan alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak Paul Yong Choo Kiong berkata penambahbaikan itu termasuk mempertingkatan sistem pengurusan seperti penggunaan teknologi tinggi.

Beliau berkata pihaknya sudah melawat beberapa negara seperti Jepun, Taiwan dan China untuk melihat sistem pengurusan sisa pepejal di negara tersebut yang boleh diguna pakai di Perak.

"Melalui lawatan itu kita mendapat banyak maklumat dan idea dalam pengurusan sisa pepejal dalam memastikan cara terbaik untuk tingkatkan sistem pelupusan sampah.

"Setakat ini pihak berkuasa tempatan di negeri ini mempunyai pengalaman dalam menguruskan sisa pepejal dengan baik dan mempunyai tapak pelupusan sendiri," katanya dalam sidang media selepas majlis Mengangkat Sumpah dan Menerima Jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di sini pada Selasa.

Setiausaha MPT Borhan Abdul Halim, 59 tahun, dilantik sebagai Yang Dipertua MPT yang baharu berkuatkuasa 9 April lalu bagi menggantikan Datuk Abd Rahim Md Ariff yang bersara wajib pada 8 April lepas.

Menurut Yong, pihaknya juga berhasrat untuk berbincang dengan E-Idaman, sebuah syarikat konsesi pembersihan yang sememangnya mempunyai kemahiran serta kepakaran dalam pengurusan sisa pepejal.

"E-Idaman masih menunggu keputusan daripada Kerajaan Persekutuan untuk berbincang dengan kerajaan negeri kerana Perak tidak menandatangani perjanjian penswastaan sisa pepejal sejak 10 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata pengurusan sisa pepejal bukan satu perkara mudah kerana PBT berhadapan dengan pembuangan sampah daripada kontraktor dan kilang.

Mengenai pelantikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Yong berkata pihaknya sudah mengemukakan nama dan akan membuat pemilihan terakhir yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, Borhan yang menjadi Setiausaha MPT sejak 2012 berkata visi beliau adalah untuk menjadikan Taiping terus dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

-- BERNAMA