Penutup hidung dan mulut RM11.20 sekeping: KPDNHEP tunggu laporan hospital

Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid berkata, pemeriksaan ke atas hospital swasta berkenaan sudah dilakukan susulan aduan pengguna yang diterima.

Harga maksimum yang ditetapkan KPDNHEP untuk penutup hidung dan mulut tiga lapisan ialah RM1.50 sekeping. - Gambar hiasan | Astro Awani
Sebuah hospital swasta di ibu negara yang dikesan mengenakan caj RM11.20 sen bagi sekeping penutup hidung dan mulut tiga lapisan telah diarahkan menghantar laporan penjelasan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan segera.

Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid berkata, pemeriksaan ke atas hospital swasta berkenaan sudah dilakukan susulan aduan pengguna yang diterima.

Harga topeng muka itu diletakkan terlalu tinggi berbanding harga maksimum yang ditetapkan pada RM1.50 sekeping.

Pengguna yang juga pesakit hospital itu mendakwa dikenakan caj RM201.60 bagi 18 keping penutup hidung dan mulut yang dipakai jururawat bagi merawatnya.

"Untuk tindakan kementerian, kita sedang siasat, tetapi sehingga hari ini kita tak dapat lagi laporan daripada hospital tersebut tentang kenapa dia naikkan harga.

"Kita nak dia tunjuk sebab kenapa dia naikkan harga tersebut dan kenapa dia cajkan kepada pesakit. Jadi, kita tengoklah apa yang dilaporkan itu, kemudian baru kita ambil tindakan," kata Rosol pada satu sidang media di sini hari ini.

BACA: KPDNHEP siasat hospital swasta kenakan harga penutup hidung dan mulut RM11.20 sekeping

Katanya, bagi kes berkenaan kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Pada Jumaat, KPDNHEP dalam satu kenyataan menyebut, sebuah hospital swasta di ibu negara telah diperiksa dan beberapa dokumen berkaitan transaksi termasuk penutup hidung dan mulut telah disita bagi tujuan siasatan.

Terdahulu, Rosol melakukan pemeriksaan dan tinjauan terhadap bekalan keperluan asas di sebuah pasar raya di sini dan Pasar Awam Sena.