Penguat kuasa PBT, 'runner' ditahan minta rasuah RM4,000 daripada peniaga

Penguatkuasa berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 pada petang Sabtu di pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberikan keterangan.

Penguat kuasa berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 pada petang Sabtu di pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberikan keterangan. - Gambar Astro AWANI | Astro Awani
KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Sabtu menahan seorang penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana disyaki meminta wang rasuah berjumlah RM4,000 daripada seorang peniaga kedai makan.

Penguatkuasa berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 pada petang Sabtu di pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, penahanan dibuat susulan daripada tangkapan seorang lelaki yang disyaki bertindak sebagai runner kepada individu berkenaan untuk meminta wang sogokan.

Runner berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 7.45 malam pada Jumaat di sebuah gerai makan di ibu negara.

Majistret Mahkamah Kuala Lumpur membenarkan tahanan reman terhadap runner tersebut selama lima hari bermula 27 Jun hingga 1 Julai.

Menurut sumber, pada 15 Jun lepas, sepasukan penguat kuasa PBT telah memeriksa dan menyita kedai makan di sebuah apartmen di ibu negara kerana kesalahan tiada lesen perniagaan yang sah dan menggaji pekerja asing.

Tiga hari kemudian, seorang runner telah datang dan berjumpa peniaga kedai makan tersebut dan meminta wang rasuah RM4000 sebagai balasan agar tidak dikenakan tindakan.

Individu tersebut juga meminta wang perlindungan berjumlah RM500 secara bulanan supaya kedai makan tersebut tidak diganggu dan tidak diambil tindakan undang-undang.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.