Penghantar makanan kontrak maut dirempuh pemandu mabuk

Kejadian kira-kira 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara itu menyebabkan Mohamed Zaili Mohamed, 44, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Lelaki itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Antarabangsa, Ampang, selepas menghantar makanan yang dijual isterinya. - Foto PDRM | Astro Awani
Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk.

Kejadian kira-kira 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara itu menyebabkan Mohamed Zaili Mohamed, 44, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh ke sebelah kiri bahu jalan manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

"Suspek kemudiannya memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu selepas ditahan orang awam," kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang merupakan pekerja kontrak itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Antarabangsa, Ampang, selepas menghantar makanan yang dijual isterinya.

Zulkefly berkata pemandu kereta yang bekerja di kedai aksesori kereta itu dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-- BERNAMA