Pengerusi My_CrimeWatch hadapi dua pertuduhan mahkamah berkaitan komunikasi palsu

Sanjeevan, 36, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin.

Sanjeevan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). | Astro Awani
Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (My_CrimeWatch) hadapi dua pertuduhan mahkamah berkaitan komunikasi palsu), Datuk R Sri Sanjeevan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Twitter.

Bagaimanapun Sanjeevan, 36, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat untuk menganiayai orang lain melalui Twitter pada jam 4.20 petang 18 Mac lalu, yang dibaca kira-kira jam 3.15 petang pada 7 April lalu di Pejabat Komunikasi, lbu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama pada jam 9.07 malam, 16 Mei lalu, yang dibaca pada jam 8.15 pagi, 17 Mei lalu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Preakas Sampunathan.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi dua pertuduhan berkenaan dan sebutan kes pada 23 Julai depan bagi serahan dokumen serta laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).