Pengecilan operasi NSTP: "Kami berkorban dan dipaksa berkorban untuk syarikat" - NUJ

Langkah pengecilan operasi melibatkan tiga penerbitan iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro ditetapkan Mac tahun depan.

Jumlah 543 kakitangan yang menerima surat pemberhentian bukannya kecil di mana ramai antara mereka telah berkorban dan dipaksa berkorban demi kelangsungan syarikat. - Gambar fail | Astro Awani
Apa lagi daya yang ada pada 543 kakitangan kumpulan New Straits Times Press (NSTP) selain terpaksa menelan kepahitan apabila dipaksa mengorbankan kerjaya oleh pengurusan.

Pengorbanan itu merupakan pilihan terakhir buat sebilangan besar daripada mereka yang berkorban dan dipaksa berkorban demi kelangsungan syarikat.

Bagi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan NSTP, jumlah 543 kakitangan yang terjejas itu bukan kecil.

Menurut Pengerusinya, Farah Marshita Abdul Patah, kesatuan berkenaan telah berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan setiap ahlinya.

Namun, kuasa mutlak, jelas Farah, terletak di tangan pengurusan syarikat yang membuatkan mereka terpaksa akur.

“Kami sebaik mungkin akan mempertahankan setiap ahli, namun akhirnya kita perlu akur dengan keputusan syarikat walaupun ia sukar untuk diterima.

“Kami berharap supaya syarikat ini mampu untuk pulih semula daripada cabaran yang dihadapi,” kata Farah dalam kenyataan yang diedarkan.

Struktur operasi baharu serta senarai nama kakitangan yang terbabit sudah ditentukan selepas beberapa sesi rundingan bersama Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Berhad, NUJ cawangan NSTP dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (NUNW) cawangan NSTP.

Sejak beberapa hari lalu, berita mengenai NSTP bakal mengecilkan saiz operasinya sudah mula menjadi perbincangan dalam kalangan pemain industri media.

Selepas Kumpulan Utusan yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo menghentikan operasi syarikat pada Oktober lalu, NSTP pula menjadi titik tumpuan.

Berdasarkan keputusan yang dicapai, pengecilan operasi syarikat Media Prima Bhd (MPB) menyaksikan 543 kakitangan kumpulan NSTP ditamatkan perkhidmatan.

NSTP merupakan anak syarikat MPB yang menerbitkan akhbar The New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Langkah pengecilan operasi itu ditetapkan Mac tahun depan.

“Hari terakhir untuk mereka yang terjejas ditetapkan pada 12 Mac 2020.

“Daripada 336 ahli NUJ, hanya 143 ahli kekal,” kata Farah lagi.

Sementara itu, MPB dalam kenyataan berasingan berkata, notifikasi rasmi telah diberikan kepada semua kakitangan yang terlibat hari ini.

“Pembayaran pampasan akan dibuat secara penuh selepas proses dalaman dan kawal selia (regulatory) selesai.

“Kumpulan telah memastikan pampasan yang adil dan saksama seperti tertakluk di bawah Akta Kerja, perjanjian bersama kesatuan masing-masing dan kontrak pekerjaan,” memetik kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, MPB juga akan menyediakan khidmat sokongan kepada kakitangan termasuk perkhidmatan penempatan keluar (outplacement) dan kaunseling kerjaya.

“Fasa seterusnya pelaksanaan transformasi perniagaan Media Prima termasuklah penukaran model perniagaan dan penstrukturan dalaman.

“Ini bagi membolehkan Kumpulan lebih berdaya saing dan mampan di masa hadapan, berikutan suasana makro ekonomi yang tidak menentu dan gangguan perubahan lanskap media global dan domestik,” jelas kenyataan itu lagi.