Pengarah syarikat pemaju didakwa terbabit pengubahan wang haram RM9 juta

Pengarah sebuah syarikat pemaju didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, atas pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram bernilai lebih RM9 juta, sejak 2013 hingga 2017.

Tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah. Gambar Astro AWANI | Astro Awani
Pengarah sebuah syarikat pemaju didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, atas pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram bernilai lebih RM9 juta, sejak 2013 hingga 2017.

Lau Kok Loon, 77, Pengarah Semenyih Jaya Sdn Bhd, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan dalam bahasa Inggeris, di hadapan hakim Hasbullah Adam.

Tertuduh didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang melalui akaun simpanan tetap Hong Leong Bank miliknya, kepada akaun simpanan semasa bank sama yang juga miliknya, melalui 34 transaksi pemindahan berjumlah RM9,155,644.23 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Hong Leong, Jalan Perak, di sini, pada 4 Disember 2013 hingga 19 September 2017, mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin, menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam S. S. Devanandan, memohon jaminan dikurangkan kepada RM30,000 dengan seorang penjamin, atas alasan anak guamnya menghidap pelbagai penyakit termasuk kanser usus, sakit jantung dan sakit tulang belakang.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 20 Julai untuk sebutan semula kes.