Pengambilan pekerja asing perlu penuhi syarat ditetapkan - Mahfuz

Kementerian Sumber Manusia tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan dalam pengambilan pekerja asing.

Pengambilan pekerja asing perlu penuhi syarat ditetapkan - Mahfuz | Astro Awani
Kementerian Sumber Manusia sentiasa terbuka dengan permohonan pengambilan pekerja asing sekiranya ia memenuhi syarat yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata pihak kementerian itu tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan dalam pengambilan pekerja asing.

"Dalam hubungan ini, kilang yang mengeluarkan penutup hidung dan mulut di negara ini perlu menunjukkan bukti bahawa mereka benar-benar mempunyai keperluan terhadap pekerja asing di kilang mereka bagi tujuan meningkatkan penghasilan.

"Memang kerajaan memberikan kelonggaran pengambilan lebih ramai pekerja asing di kilang yang mengeluarkan penutup hidung dan mulut di negara ini tetapi mereka perlu juga membuat permohonan mengikut prosedur melalui kementerian kami dan juga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mana akhirnya kelulusan permit itu ialah daripada KDN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ketiga Persekutuan Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) (FeMAC) - Zon Tengah 2020 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia di sini pada Sabtu.

Turut hadir Presiden FeMAC P.Sailanathan.

Mahfuz berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam bahawa kerajaan memberi kelonggaran terhadap pengambilan lebih ramai pekerja asing di kilang penutup hidung dan mulut bagi meningkatkan penghasilan dalam usaha memenuhi permintaan bekalan susulan penularan novel koronavirus 2019, atau COVID-19.

Wan Azizah berkata hasil perbincangan pengilang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini mendapati penambahan pekerja asing secara tidak langsung membolehkan kilang terbabit beroperasi 24 jam.

Ditanya jumlah pekerja asing yang akan diambil, Mahfuz berkata ia bergantung kepada keperluan dan permintaan selain melihat negara sumber pekerja terbabit.

Pada majlis itu, sejumlah 517 graduan dari 12 pusat bertauliah FeMAC menerima sijil dan diploma masing-masing daripada Mahfuz.

-- BERNAMA