Pemulihan COVID-19 tidak seharusnya diukur dari sudut KDNK - Anwar Ibrahim

Pemulihan Malaysia daripada krisis pandemik COVID-19 tidak seharusnya diukur dari sudut pertumbuhan atau pengucupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

ANWAR: Apakah jurang pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini melebar atau mengecil? Apakah kadar pengangguran dalam kalangan belia? -Gambar fail | Astro Awani
Pemulihan Malaysia daripada krisis pandemik COVID-19 tidak seharusnya diukur dari sudut pertumbuhan atau pengucupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sebaliknya, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ia seharusnya dilihat secara holistik bagi mengangkat Malaysia supaya muncul lebih kuat dan terus berdaya tahan.

"Apakah jurang pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini melebar atau mengecil? Apakah kadar pengangguran dalam kalangan belia?

"Sejauh mana kejayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)?

"Ini adalah antara persoalan yang perlu dilihat dan diteliti.

"Namun soalan-soalan ini tidak seharusnya ditujukan kepada para ahli ekonomi sahaja, sebaliknya ditujukan kepada ahli politik yang bertanggungjawab melaksanakan dasar," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut Anwar berkata dalam konteks ini, ahli politik perlu bersama-sama bertindak termasuk terlibat dalam sesi perbahasan di Parlimen ketika membahaskan rang undang-undang demi kesejahteraan masa depan negara.

Dalam melaksanakan demokrasi, katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap Ahli Parlimen untuk menjalankan tugas dengan telus dan sedia menerima kritikan masyarakat.

"Tapi sayangnya, hari ini, ahli politik 'bersembunyi' daripada menghadiri Parlimen dan membuat keputusan di sebalik pintu tertutup.

"Malah mereka juga menganggu tugas para pengamal media dan menyorong negara ke zaman kegelapan," ujarnya.