Pemilik kolam renang perlu daftar dengan MITI - Ismail Sabri

Operator atau pemilik kolam renang perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan MITI sebelum dibenarkan beroperasi pada 1 Julai depan.

Pemilik kolam renang perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan MITI. - Gambar hiasan | Astro Awani
Operator atau pemilik kolam renang perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum dibenarkan beroperasi pada 1 Julai depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu berbuat demikian di laman web notification.miti.gov.my.

"Ia adalah bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta membolehkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan serta pihak berkuasa tempatan melakukan penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, beliau mengumumkan, aktiviti riadah kolam renang dan pelancongan air sama ada di sungai, laut dan tasik dibenarkan beroperasi dengan SOP ditetapkan.

Pun begitu katanya, kebenaran itu tidak termasuk taman tema air yang belum dibenarkan beroperasi sehingga kini.

Aktiviti yang dibenarkan termasuk kolam renang awam di hotel, kondominium, komuniti berpagar atau kawasan terkawal serta persendirian.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, walaupun pada dasarnya tiada larangan untuk kanak-kanak menggunakan kolam renang, golongan itu tidak digalakkan untuk terbabit dalam aktiviti riadah berkenaan.