Pemandu mabuk rempuh kereta polis

Sebelum kejadian terdapat satu kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta dan motosikal di lebuh raya itu, menghala ke Kuala Lumpur.

Pemandu mabuk rempuh kereta polis | Astro Awani
Seorang pemandu berada di bawah pengaruh alkohol merempuh kereta peronda polis di Lebuhraya Persekutuan, dalam kejadian kira-kira jam 4.10 pagi ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din, sebelum kejadian terdapat satu kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta dan motosikal di lebuh raya itu, menghala ke Kuala Lumpur.

"Anggota polis yang menaiki kereta peronda tiba di lokasi kemalangan pada 4.05 pagi dan meletakkan kereta peronda di belakang kenderaan yang rosak teruk di tengah lebuh raya berkenaan.

"Kereta peronda polis menyalakan lampu biru dan lampu kecemasan serta anggota membantu untuk mengawal lalu lintas.

"Secara tiba-tiba, sebuah kereta jenis Nissan datang dari arah belakang dan telah merempuh kereta peronda polis tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Zani berkata kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Laporan awal mendapati pemandu kereta Nissan itu berada di dalam keadaan mabuk dan suspek telah dibawa ke balai polis trafik untuk tindakan lanjut, jelas beliau.