Pelajar Tingkatan 2 antara dua maut pertembungan empat motosikal

Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu seorang pelajar tingkatan 2 maut selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dan melanggar tiang lampu isyarat.

Muhammad Syakir gagal melepasi dua motosikal lalu merempuh motosikal Muhamad Amirul yang datang dari arah hadapan, sehingga mengakibatkan keempat-empat motosikal itu berlanggar antara satu sama lain. - Astro AWANI | Astro Awani
Dua maut termasuk seorang pelajar Tingkatan 2, selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Jalan Kampung Rantau Panjang dekat Kuala Muda, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Muhamad Amirul Naim Samsudin, 14 tahun, meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah lagi motosikal dan melanggar tiang lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah memaklumkan, kejadian berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggangi seorang lagi mangsa, Muhammad Syakir Suhaimi, 23 tahun, cuba memotong dua motosikal.

Bagaimanapun, Muhammad Syakir gagal melepasi mereka lalu merempuh motosikal Muhamad Amirul yang datang dari arah hadapan, sehingga mengakibatkan keempat-empat motosikal itu berlanggar antara satu sama lain.

Motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditunggangi Muhamad Amirul terseret sejauh 10 meter sebelum terlanggar tiang lampu isyarat.



Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dalaman badan. - Astro AWANI

Akibatnya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dalaman badan, maut di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa yang terlibat mengalami patah bahu kiri dan kecederaan pada tangan dan kaki.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan, APJ 1987.