Pelajar Mesir maut terjatuh dari tingkat 15 pangsapuri di Miri

Si mati duduk di tebing koridor tingkat itu dalam keadaan tidak stabil sebelum didapati terjatuh dari koridor itu.

Si mati duduk di tebing koridor tingkat itu dalam keadaan tidak stabil sebelum didapati terjatuh dari koridor itu. | Astro Awani
Seorang pelajar lelaki rakyat Mesir, yang menuntut di sebuah universiti swasta di Bandaraya Miri, dijumpai mati di koridor tingkat dua sebuah pangsapuri pada awal pagi tadi dipercayai terjatuh dari tingkat 15 bangunan kediaman itu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Ming Seah berkata mangsa, Yahia Hatem Helmy Mahmoud Sultan berusia awal 20-an, dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kiri kepalanya pada kira-kira 5.30 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa yang menuntut dalam bidang asas perniagaan telah menyewa pangsapuri itu bersama 12 rakannya pada Ahad selama satu malam.

"Semakan CCTV (kamera litar tertutup) mendapati pada 2.12 pagi, si mati berada di kawasan lif tingkat 15 seorang diri dalam keadaan terhuyung-hayang dan cuba mencari pintu keluar.

"Pada 2.16 pagi, si mati telah duduk di tebing koridor tingkat itu dalam keadaan tidak stabil sebelum didapati terjatuh dari koridor itu," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Lim berkata terdapat banyak botol dan tin minuman keras ditemui di ruangan dapur serta ruang tamu pangsapuri itu dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

-- BERNAMA