Pelajar Malaysia yang mahu kembali ke Indonesia perlu patuhi prosedur kesihatan

Pelajar perubatan Malaysia yang pulang ke tanah air perlu mematuhi prosedur kesihatan ketat termasuk memiliki sijil kesihatan.

Peraturan terbaharu Kementerian Luar Indonesia pada 26 Mei lalu menetapkan, hanya warga asing yang memiliki pasport diplomatik atau mempunyai Kartu Izin Tinggal Terbatas (KITAS) dan Kartu Izin Tinggal Tetap (KITAP) dibenar memasuki republik itu. | Astro Awani
Pelajar perubatan Malaysia yang pulang ke tanah air dan perlu kembali ke Indonesia untuk menduduki Ujian Kompetensi Mahasiswa Program Profesi Dokter (UKMPPD) perlu mematuhi prosedur kesihatan ketat yang ditetapkan termasuk memiliki sijil kesihatan.

UKMPPD, syarat wajib bagi pelajar perubatan tahun akhir yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, sebelum ini dijadualkan pada Mei lepas namun ditunda kepada Ogos susulan penularan pandemik COVID-19.

Berdasarkan peraturan terbaharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Indonesia pada 26 Mei lalu, hanya warga asing yang memiliki pasport diplomatik atau mempunyai Kartu Izin Tinggal Terbatas (KITAS) dan Kartu Izin Tinggal Tetap (KITAP) dibenar memasuki republik itu.

Namun mereka yang memiliki KITAS atau KITAP, termasuk pelajar Malaysia, kini perlu memiliki sijil kesihatan yang mengesahkan mereka bebas daripada COVID-19 dan sijil itu harus sah selama tujuh hari dari tarikh ketibaan di Indonesia.

Sekalipun mempunyai sijil itu, warga asing yang memasuki Indonesia masih perlu menjalani saringan kesihatan di lapangan terbang di Jakarta dan pihak berkuasa Indonesia akan mengeluarkan dokumen kesihatan bebas penyakit (health clearance dan health alert card) serta surat kebenaran bagi yang perlu ke provinsi atau kota lain.

Semua dokumen itu perlu diserahkan kepada pejabat kesihatan di kota yang dituju mereka.

Dokumen "health clearance dan health alert card" tersebut juga perlu dihantar kepada Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel ke mwjakarta@kln.gov.my.

Warga asing juga perlu menjalani kuarantin kendiri 14 hari di destinasi masing-masing.

Bagi yang tidak memiliki sijil kesihatan, mereka perlu menjalani ujian rapid di lapangan terbang dan sekiranya reaktif atau mempamerkan gejala COVID-19, individu itu akan dirujuk ke hospital, manakala bagi yang tidak reaktif akan menjalani kuarantin kendiri 14 hari di dua buah hotel yang ditetapkan iaitu Hotel Borobudur dan Hotel JS Luwansa di Jakarta dengan pembiayaan sendiri.

Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI) Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun berkata pihak EMI sentiasa mengadakan perbincangan dengan universiti Indonesia berkaitan kebajikan pelajar dan isu-isu yang berbangkit.

"UKMPPD sebelum ini dijadualkan pada Mei lepas telah ditangguhkan kepada Ogos dan kita berharap pandemik COVID-19 akan semakin membaik kerana kita masih ada banyak masa sebelum Ogos tiba dan kita juga berharap beberapa peraturan berkaitan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) di Jakarta yang berkuat kuasa sehingga 4 Jun ini dilonggarkan," katanya.

Berdasarkan surat rasmi yang dikeluarkan Panitia Nasional UKMPPD bertarikh 26 Mac lepas, penangguhan ujian berkenaan sehingga Ogos depan itu bergantung kepada perkembangan semasa COVID-19.

UKMPPD adalah prosedur yang wajib diikuti oleh mahasiswa tahun akhir jurusan perubatan di Indonesia sebelum mendapat surat izin praktik sebagai pengamal perubatan, dan ujian itu juga diwajibkan kepada pelajar luar termasuk dari Malaysia sekalipun ujian itu tidak diiktiraf atau diambil kira oleh sistem pendidikan di negara lain.

Menurut sumber, terdapat 77 pelajar Malaysia yang perlu menduduki ujian itu pada Ogos ini iaitu 33 di Bali, 22 di Medan, 13 di Malang, empat di Surabaya, tiga di Padang dan dua di Yogjakarta.

-- BERNAMA