Pekerja ladang maut motosikal dirempuh treler

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ayer Putih selepas selesai tugasan di ladang tersebut.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ayer Putih selepas selesai tugasan di ladang tersebut. - Astro AWANI | Astro Awani
Seorang buruh ladang kelapa sawit maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lori treler.

Nahas berlaku di kilometer 124 Jalan Jerangau - Jabor berhampiran Kampung Padang Kubu - Bandar Seri Bandi, Kemaman pada Khamis.

Dalam insiden kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa Mohd Haffizu Saari, 32 tahun, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX 5 dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ayer Putih selepas selesai tugasan di ladang tersebut.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah lori treler yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 50an yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki simpang dan merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.