Padah langgar polis kerana ingkar PKP, pekerja pendawaian dipenjara 12 bulan

Anggota trafik itu mengalami kecederaan patah tulang rusuk kiri, luka di bahagian atas bibir dan juga luka pada betis akibat dilanggar dengan motosikal oleh lelaki terbabit.

Pekerja pendawaian didakwa selepas ditahan pada 20 Mac lepas kerana melanggar anggota berkenaan yang sedang bertugas melaksanakan PKP. - Gambar Hiasan | Astro Awani
Padah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga melanggar seorang anggota polis trafik, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt Ramsay Anak Embol berkata pekerja pendawaian berumur 32 tahun itu didakwa selepas ditahan pada 20 Mac lepas kerana melanggar anggota berkenaan yang sedang bertugas melaksanakan PKP di sekitar Pusat Konvensyen Ideal di sini.

"Anggota trafik itu mengalami kecederaan patah tulang rusuk kiri, luka di bahagian atas bibir dan juga luka pada betis akibat dilanggar dengan motosikal oleh lelaki terbabit.

"Semasa insiden tersebut, lelaki berkenaan menaiki motosikal itu tanpa memakai topi keledar. Dia ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan serta Peraturan 7 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

-- BERNAMA