Operasi bas hidrogen di Kuching akan disambung selepas penyelenggaraan

Penyambungan semula perkhidmatan bas yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api di bandar raya Kuching, hanya akan diumumkan selepas semua bas berkenaan telah melalui kerja-kerja penyelenggaraan.

Perkhidmatan bas itu menerima sambutan yang amat menggalakkan dari warga kota serta pelancong asing, yang dapat menggunakan perkhidmatan itu untuk melancong di sekitar bandar raya. Foto: Bernama | Astro Awani
KUCHING:Penyambungan semula perkhidmatan bas yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api di bandar raya Kuching, hanya akan diumumkan selepas semua bas berkenaan telah melalui kerja-kerja penyelenggaraan berjadual sepenuhnya oleh juruteknik dari pengeluarnya yang berpangkalan di China, Foshan Feichi Automobile Co. Ltd.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Husain dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa perkhidmatan bas hidrogen pertama negara itu dihentikan buat sementara pada 18 Mac lepas, selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpunca daripada pandemik COVID-19.

"Ketika ini bas-bas hidrogen masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga juruteknik dari pengeluar bas berkenaan, Foshan Feichi Automobile Manufacture Co., Ltd (Feichi) di China, dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual sewajarnya, dan bas berkenaan masih dalam jaminan pengeluar.

Menurutnya juruteknik yang dijadualkan tiba di Kuching Mac lepas, masih tidak dapat memasuki Sarawak disebabkan sekatan perjalanan yang dikenakan sejak permulaan PKP.

Beliau berkata selain memberikan perkhidmatan sokongan yang masih dalam jaminan, pengeluar bas itu juga dijadualkan menyiapkan jadual latihan untuk juruteknik tempatan di Kuching, sebagai sebahagian daripada obligasi berterusan kepada SEDC di bawah perjanjian sokongan teknikal.

"Malangnya rancangan itu juga terpaksa ditangguhkan disebabkan sekatan perjalanan yang berkaitan dengan COVID-19, memandangkan kebolehpercayaan dan keselamatan penumpang kami adalah keutamaan palong tinggi.

"Oleh yang demikian perkhidmatan bas berkenaan hanya akan dibenarkan kembali beroperasi apabila setiap kenderaan dibuktikan selamat sepenuhnya untuk berada di jalan raya," katanya.

Abdul Aziz berkata sebaik sahaja perkhidmatan itu disambung semula, orang ramai boleh terus menggunakan perkhidmatan bas menggunakan hidrogen sebagai bahan api itu secara percuma.

"Kami gembira mendengar orang ramai amat berminat dengan penyambungan semula perkhidmatan itu, dan mereka masih boleh menggunakan perkhidmatan itu secara percuma," katanya dan menambah perkhidmatan bas itu dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada 21 Jan lepas.

Perkhidmatan bas itu menerima sambutan yang amat menggalakkan dari warga kota serta pelancong asing, yang dapat menggunakan perkhidmatan itu untuk melancong di sekitar bandar raya, dan juga Pantai Dalam, serta Santubong pada hujung minggu.

Beliau memberi jaminan bahawa perkhidmatan bas itu akan disambung semula supaya penduduk tempatan dan pelancong akan dapat terus menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang mesra alam dan selesa, sekali lagi.

-- BERNAMA