Normal baharu: Graduan perlu kuasai pelbagai kemahiran, hadapi pasca COVID-19

Graduan perlu menyediakan diri untuk mengharungi normal baharu dengan menguasai pelbagai kemahiran sebagai persediaan memasuki fasa pasca COVID-19.

Dr. Mohd Mursyid Arshad berkata, implikasi pandemik menyaksikan kadar pengangguran meningkat sebanyak empat peratus pada suku pertama tahun 2020. | Astro Awani
Graduan perlu menyediakan diri untuk mengharungi normal baharu dengan menguasai pelbagai kemahiran sebagai persediaan memasuki fasa pasca COVID-19.

Pensyarah Kanan (Pembangunan Belia), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM),
Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, implikasi pandemik menyaksikan kadar pengangguran meningkat sebanyak empat peratus pada suku pertama tahun 2020.

Ekoran itu, kata beliau, trend itu besar kemungkinan akan memberi implikasi kepada pengurangan jumlah pekerjaan yang boleh dimonopolikan oleh golongan belia.

"Dalam konteks Malaysia, kira-kira 40 peratus pekerjaan dimonopolikan oleh golongan belia yang berusia 15 hingga 30 tahun, di mana 80 peratus daripadanya dimonopolikan oleh graduan," katanya ketika ditemubual Astro AWANI menerusi Skype di sini, pada Isnin.


Mengulas lanjut, Mohd Mursyid memberitahu, pada setiap tahun, kira-kira 200,000 graduan keluar dari institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia dan trend ini menunjukkan mereka perlu bersedia berdepan dengan dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

"Jadi sudah tiba masanya, golongan belia untuk tidak terus bergantung kepada pekerjaan yang berdasarkan pada majikan semata-mata sebaliknya mendapatkan pekerjaan yang terbuka luas.

"Maksudnya, pada tempoh ini, mereka perlu mengubah pemikiran mereka bukan sekadar perniagaan yang hanya berdasarkan perniagaan fizikal sebaliknya menceburi sektor maya," ujarnya.

Ekoran itu, beliau berkata, golongan belia perlu memantapkan pengetahuan dalam bidang digital dan teknologi maklumat serta mempelbagaikan kemahiran.

"Dalam aspek lain, COVID-19 memberi hikmat dengan membuka mata orang ramai untuk menceburi perniagaan digital," tambahnya.