Nak balik kampung sebab takut tak sempat minta maaf

Ramai orang mengadu ingin pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri kerana mereka takut tidak sempat minta maaf kepada keluarga dan saudara terdekat.

Meskipun ada mengatakan minta maaf melalui telefon sahaja tidak mencukupi namun beliau berpendapat perkara yang lebih penting adalah niat mereka. - Foto Astro AWANI | Astro Awani
Ramai orang mengadu ingin pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri kerana mereka ‘takut tidak sempat minta maaf’ kepada keluarga dan saudara terdekat.

Aduan sebegitu dikongsikan Aktivis Sosial, Syed Azmi yang menyatakan ‘ketakutan’ itu paling kerap dibangkitkan orang ramai yang bertemu dengannya malah ia bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga lagi.

Menurutnya, ramai bertanyakan kaedah untuk mereka pulang ke kampung tanpa dikenakan tindakan memandangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diuruskannya banyak berkongsi idea kreatif menjalani PKP dengan baik.

“Saya rasa konsep bertemu muka minta maaf itu satu perkara yang luhur. Kenalan saya sendiri yang terkorban pada musim ini ada dua orang, memang kadangkala ada rasa takut tak sempat minta maaf terutamanya bagi anak-anak yang berada di Kuala Lumpur yang tak boleh balik langsung.

“Dia tidaklah nak balik juga tapi resahnya bukan kerana nak makan kuih raya, lauk sedap dan sebagainya tapi lebih kepada takut tak sempat tak minta maaf, takut ini adalah Ramadan terakhir,” katanya.


Sementara itu, berpandangan sebaliknya, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin menegaskan tiada hukum dalam Islam yang menyatakan umat Islam perlu memohon maaf pada hari raya pertama.

“Saya harap saya tidak akan berbunyi zalim tapi saya rasa itu macam kita bersikap over reactive, macam hipokrit pun ada.

“Budaya dan agama sudah bercampur-baur, mana ada hukum kata waktu hari raya perlu minta maaf tapi sepatutnya sepanjang masa,” katanya.


Jelasnya, meskipun ada mengatakan minta maaf melalui telefon sahaja tidak mencukupi namun beliau berpendapat perkara yang lebih penting adalah niat mereka.

“Ada kata telefon saja tidak cukup tapi niat itu penting. Kalau dalam hati itu penuh dengan rasa betul-betul bersyukur dan menuntut kemaafan, saya rasa perasaan itu akan sampai kepada mereka yang ingin disampaikan itu,” katanya.

Mereka berkata demikian dalam Sesi Webinar Secara Langsung dibawakan Astro AWANI yang membincangkan tajuk ‘Aidilfitri dan COVID-19: Beraya Secara Berhemah’ pada Rabu.

Webinar tersebut dikelolakan Editor Kanan Astro AWANI, Dzulfitri Yusop dan disertai ahli panel lain iaitu Pakar Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aidalina Mahmud dan Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng.