Najib ucap 'Selamat Hari Lahir ke-95' buat Tun M

Pada PRU lepas, BN hilang kuasa memerintah negara sejak penubuhannya pada 1973, apabila tewas kepada PH yang diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Najib ambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Lahir ke-95 buat Dr Mahathir (gambar). -Gambar fail | Astro Awani
BERLAINAN ideologi politik bukan penghalang bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menunjukkan rasa hormat kepada seteru politiknya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Biarpun seteru itu merupakan individu yang bertanggungjawab menyebabkan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa selepas 62 tahun memerintah negara, Najib tetap mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari lahir ke-95 kepada Dr Mahathir.

Happy 95th birthday, sir.

"Semoga Tun Dr Mahathir dilimpahkan rahmat, ketenangan, kesihatan dan dilanjutkan usia,” kata Ahli Parlimen Pekan itu dalam catatan terbaharu di Facebook rasmi beliau hari ini.

Sumber Facebook najibrazak

Buat pertama kali dalam sejarah Barisan Nasional hilang kuasa memerintah negara sejak penubuhannya pada 1973, apabila mereka tewas kepada Pakatan Harapan yang diketuai oleh Dr Mahathir sendiri.

Namun krisis politik yang berlaku pada awal tahun ini menyaksikan Ahli Parlimen Langkawi itu mengambil langkah drastik meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan Perdana Menteri, mengakibatkan kejatuhan kerajaan.

Jawatan Perdana Menteri kini dipegang Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kemasukan Barisan Nasional dan PAS ke dalam kerajaan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional.