Modul kesedaran keselamatan siber negara di 300 sekolah

Modul yang terbahagi kepada peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah itu, mengandungi antara lain topik mengenai adab dalam talian.

Pengguna internet perlu menjadi fasih digital dan sedar risiko menggunakan internet seperti berkongsi maklumat peribadi. - Gambar hiasan | Astro Awani
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Cybersecurity Malaysia merancang memperkenalkan Modul Kesedaran Keselamatan Siber Negara di 300 buah sekolah di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan KPM Shafruddin Ali Hussin berkata modul yang terbahagi kepada peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah itu, mengandungi antara lain topik mengenai adab dalam talian.

Beliau berkata terdapat empat modul iaitu Modul 1 untuk Tahun 1 hingga 3, Modul 2 untuk Tahun 4 hingga 6, Modul 3 untuk Tingkatan 1 hingga 3 dan Modul 4 untuk Tingkatan 4 dan 5.

"Modul ini terdiri daripada beberapa topik seperti adab dalam talian, keseimbangan masa penggunaan internet, buli siber, media sosial dan kewarganegaraan digital," katanya ketika menjadi panel forum "Memupuk Fasih Digital Dalam Abad ke-21" di Putrajaya pada Selasa.

Forum berkenaan bersempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2020 - Edisi Malaysia, yang diterajui CyberSecurity Malaysia dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Forum itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna internet mengenai ancaman keselamatan siber dan memperkenalkan konsep fasih digital bagi meningkatkan pengetahuan pengguna untuk memupuk sikap positif dan beretika ketika menggunakan internet serta aktiviti dalam talian.

Ketua Kluster Keselamatan Siber di Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Prof Dr Mohamad Fauzan Noordin yang juga panel forum berkenaan berkata bagi memastikan pengguna internet menjadi fasih digital, mereka perlu sedar risiko menggunakan internet seperti berkongsi maklumat peribadi.

"Setiap pengguna kena tahu apa risiko mendedahkan maklumat peribadi seperti gambar keluarga, semua ini dikumpul oleh analisis data raya," katanya yang bersetuju sekiranya undang-undang berkaitan keselamatan siber diperketatkan.

-- BERNAMA