MOA bantu petani terjejas akibat kemarau di Melaka dan Kedah

Data atau maklumat tepat berkaitan jumlah mereka yang terjejas akan dikumpul dan melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

Salahuddin (kanan) beramah mesra dengan nelayan, Muhammad Shahpiee Md Idris (kiri) selepas Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Negeri Melaka di Kompleks Perikanan LKIM Duyong, 15 Feb, 2020. --fotoBERNAMA | Astro Awani
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan membantu golongan petani yang terjejas akibat kemarau serta gangguan bekalan air di Melaka dan Kedah menerusi tabung bencana alam bagi meringankan beban atau kerugian yang ditanggung.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pegawai di bawah kementerian itu akan mengumpul data atau maklumat tepat berkaitan jumlah mereka yang terjejas dan melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

"Mereka akan dibantu menerusi tabung bencana alam seperti yang telah kita lakukan di Kedah sebelum ini akibat Taufan Lekima," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Negeri Melaka di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Duyong di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, sejumlah 595 nelayan di Melaka menerima elaun sara hidup bagi Januari berjumlah RM147,750.

Turut hadir Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil.

BACA: Kerajaan Kedah rangka pelan kontingensi hadapi kemungkinan kemarau berlanjutan - Exco

BACA: Paras empangan di Kedah, Pulau Pinang, Melaka masih terkawal - SPAN

BACA: Catuan air di kawasan perindustrian, pelancongan, hospital di Melaka

Salahuddin juga berkata MOA bercadang meningkatkan elaun sara hidup nelayan daripada RM250 kepada RM300 pada tahun hadapan.

Beliau berkata bagaimanapun ia bergantung pada situasi kewangan semasa kerajaan selaras dengan usaha membantu meringankan beban nelayan dan menjaga kebajikan golongan itu.

"Pada tahun ini, sebanyak RM120 juta Elaun Sara Hidup Nelayan diperuntuk kepada 40,000 nelayan di seluruh negara dan pada tahun hadapan, kita bercadang menaikkan elaun itu daripada RM250 kepada RM300. Kalau ekonomi bagus... doakan mungkin lebih daripada itu boleh kita bagi," katanya sambil menambah bahawa selain itu, golongan nelayan dan keluarga mereka akan terus dibantu menerusi pelbagai program, antaranya Rezeki Ternak dan Rezeki Tani, untuk meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka.

Sementara itu, beliau berkata golongan nelayan, khususnya generasi muda, digalakkan memohon pinjaman pembiayaan mikro bernilai RM100 juta yang ditawarkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan kerjasama strategik dengan Agrobank untuk menukar bot kayu kepada bot moden dan berteknologi tinggi.

"Kita dapat mengunjurkan mungkin lima tahun atau 10 tahun akan datang, mungkin tiada lagi bot kayu ini... kita nak guna bot yang moden, barulah sektor perikanan ini boleh menggamit anak muda menceburi bidang ini," katanya.

-- BERNAMA