Melaka gesa penganjur batalkan Perhimpunan Jubli Jerusalem

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, tidak ada sebarang kelulusan diberikan kepada penganjur perhimpunan itu dan ia dianggap melanggar peraturan sekiranya diadakan.

IDRIS: Kita berharap pihak polis akan membawa perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan diperhalusi untuk tindakan lanjut. -- Gambar fail | Astro Awani
Kerajaan negeri tidak pernah menerima permohonan daripada penganjur bagi melaksanakan Perhimpunan Jubli Jerusalem yang dikaitkan dengan gerakan Yahudi di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, tidak ada sebarang kelulusan diberikan kepada penganjur perhimpunan itu dan ia dianggap melanggar peraturan sekiranya diadakan.

Tegasnya, pihak penganjur perhimpunan itu juga perlu membatalkan niat mereka untuk mengadakan perhimpunan berkenaan di negeri itu, yang dijadual dari 15 hingga 18 Jun ini di Cheng.

Katanya, di peringkat kerajaan negeri, mereka menolak sekeras-kerasnya penganjuran perhimpunan itu dan tidak mahu sama sekali ia berlangsung.

"Kita mengatakan tidak dan saya sendiri tidak mahu ia dijadikan sebagai acara di Melaka dan saya dengar badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan-rakan persatuan telah membuat laporan polis tidak mahu perhimpunan ini diadakan.

"Kita berharap pihak polis akan membawa perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan diperhalusi untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Sebelum ini, maklumat mengenai Perhimpunan Jubli Jerusalem itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, dirancang diadakan di Calvary Life Assembly (Chinese), atau Clac, di Cheng, Melaka.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berkata, kerajaan negeri tidak pernah memberi sebarang kebenaran kepada sebuah NGO untuk menganjurkan program perhimpunan tersebut.

Katanya, tidak menjadi suatu kesalahan mengadakan sesuatu rutin keagamaan di rumah ibadat masing-masing, namun perhimpunan itu adalah agenda meraikan kemenangan Yahudi menawan semula Jerusalem pada 1967.

Beliau berkata perhimpunan itu jelas tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam serta Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi negara ini.

"Saya menyeru kepada masyarakat Islam agar tidak menyertai dan tertipu dengan program ini, dan berhati-hati dengan agenda untuk memecah-belahkan umat Islam," katanya.