MDEC kumpul RM387,000 untuk petugas barisan hadapan

MDEC mengumpulkan lebih RM387,000 daripada penyumbang dalaman dan luaran melalui usaha pergerakan #DigitalVsCovid.

Surina berkata kempen tersebut, yang dimulakan pada 1 April, melibatkan koordinasi antara MDEC dan syarikat-syarikat teknologi dalam mengumpulkan sokongan untuk menyediakan bekalan perubatan. - Bernama | Astro Awani
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah mengumpulkan lebih RM387,000 daripada penyumbang dalaman dan luaran melalui usaha pergerakan #DigitalVsCovid bagi membantu petugas barisan hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata kempen tersebut, yang dimulakan pada 1 April, melibatkan koordinasi antara MDEC dan syarikat-syarikat teknologi dalam mengumpulkan sokongan untuk menyediakan bekalan dan peralatan perubatan kepada profesional perubatan.

"Walaupun terjejas akibat pandemik COVID-19, perniagaan digital Malaysia terus muncul sebagai tonggak dalam masyarakat yang menerima perkhidmatan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, bekalan bantuan itu merangkumi peralatan perlindungan peribadi/pakaian unit penjagaan rapi yang disteril, topeng muka tiga lapis, pelindung muka, makanan dan bekalan am termasuk lain-lain peralatan perubatan.

Dana tersebut disalurkan kepada IMARET, sebuah pertubuhan bukan keuntungan bertauliah yang akan mengagihkan barangan kepada hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

-- BERNAMA