Malaysia tidak tukar definisi COVID-19 seperti China

Setakat ini Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) masih berupaya menampung operasi pengesanan.

Peningkatan mendadak jumlah kes positif COVID- 19 adalah disebabkan perubahan definisi kes positif COVID-19 bagi Wilayah Hubei. | Astro Awani
Malaysia tidak akan membuat sebarang perubahan mengenai definisi kes positif koronavirus (COVID-19) sepertimana dilakukan kerajaan China.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ketika ini pendekatan sedemikian hanya dilaksanakan di wilayah Hubei memandangkan makmal di wilayah itu tidak dapat menampung keperluan untuk melakukan ujian.

Jelas beliau, setakat ini Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang bertanggungjawab melakukan ujian saringan COVID-19 di Malaysia masih berupaya menampung operasi pengesanan.

“Berbanding Hubei, IMR sudah membuat persiapan awal selepas berita mengenai koronavirus keluar, jadi insya-Allah kita dapat tangani.

“Setakat ini, kita masih belum buat keputusan (untuk menukar definisi kes positif COVID-19),” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBH), di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, pihak berkuasa China menerangkan bahawa peningkatan mendadak jumlah kes positif COVID- 19 adalah disebabkan perubahan definisi kes positif COVID-19 bagi Wilayah Hubei.

“Terkini, mana-mana pesakit di Wilayah Hubei yang menunjukkan semua gejala klinikal COVID-19, tetapi belum disahkan positif melalui ujian makmal adalah dikategorikan sebagai kes positif (clinically diagnosed cases).

“Namun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pesakit disahkan positif COVID-19 di luar China tidak menunjukkan peningkatan kes mendadak,” ujarnnya.