LTTE: Peguam Negara hentikan prosiding terhadap 12 tertuduh serta merta

Tiada prospek jelas untuk sabitan mana-mana 12 tertuduh berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), jelas Peguam Negara, Tommy Thomas menerusi satu kenyataan yang dibuat hari ini.

LTTE: Peguam Negara hentikan prosiding terhadap 12 tertuduh serta merta | Astro Awani
Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini menarik balik pertuduhan terhadap 12 tertuduh yang dikaitkan dengan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berkuat kuasa serta merta.

Ia selepas pihaknya melihat tidak ada prospek jelas untuk sabitan ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Jelas Tommy, keputusan muktamad itu dibuat berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas keputusan yang dibuat dalam 34 pertuduhan itu, Tommy menyifatkan perkara itu adalah lazim untuk individu mempunyai idola yang diagungkan.

“Oleh itu, jutaan orang diseluruh dunia mengagumi Lenin, Stalin, Mao Tse Tung atau Che Guevara, dan seumpamanya.

“Mempunyai gambar-gambar mereka dan representasi-representasi lain yang berkaitan dengan mereka di dalam telefon bimbit atau akaun Facebook seseorang tidak menukar seseorang menjadi pengganas.

“Setiap seorang daripada mereka mempunyai di dalam telefon bimbit atau akaun Facebook
mereka gambar Prabhakaran dan pemimpin-pemimpin lain LTTE yang terbunuh semasa Perang Saudara di Sri Lanka.

“Sekiranya perbuatan sedemikian boleh terjumlah sebagai satu kesalahan jenayah, ia akan meletakkan undang-undang ke tempat yang tidak dihormati,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau, bagaimanapun, berkata, walaupun terdapat kemungkinan elemen-elemen “perbuatan pengganas” dipihak kesemua atau mana-mana antara 12 tertuduh LTTE, pendakwaan gagal membuktikan bahawa mereka tidak termasuk dalam kategori pengecualian Seksyen 130B(4) Kanun Keseksaan.

Katanya, ia sekadar terjumlah sokongan, bantahan atau pertentangan pendapat.

BACA: Kenyataan penuh Peguam Negara Tommy Thomas berhubung perbicaraan LTTE

Dua belas tertuduh itu adalah anggota DAP, V. Suresh Kumar, 44; ahli perniagaan, B. Subramaniam, 58; penjaga stor, S. Thanagaraj, 27; ADUN Gadek, G. Saminathan, 35; ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaren, 61; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau di Melaka, S. Chandru, 39; juruteknik, S. Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M. Pumugan, 30; guru sekolah menengah di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pemandu teksi V. Balamurugan, 38; pengutip besi buruk A. Kalaimughilan, 29; dan penghantar surat S.Teeran, 39.

Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ditempatkan di Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan. Di bawah SOSMA mereka tidak dibenar diikat jamin.

Mereka didakwa pada Oktober 2019.

Thomas berkata LTTE diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Menteri Dalam Negeri melalui Perintah yang diwartakan pada 12 Nov 2014.

Beliau berkata seorang daripada tertuduh didakwa memberi sokongan dan mengedarkan barangan berkaitan LTTE pada Mac dan Jun 2014, iaitu sebelum LTTE diwartakan sebagai kumpulan pengganas.

Peguam Negara menyatakan adalah jelas pertuduhan yang dihadapi tertuduh dengan sendirinya tidak kukuh kerana pada masa itu, LTTE masih belum digazetkan, iaitu elemen yang perlu bagi kesalahan itu.

BACA: Kes berkaitan LTTE: 10 didakwa pertuduhan baru, dua didakwa kali pertama

BACA: Dua ADUN, CEO, didakwa terbabit LTTE