Lima rakyat Thailand pulang dari Kuwait kes terbaharu COVID-19

Thailand melaporkan lima kes baharu COVID-19, semua membabitkan warganegara Thailand yang kembali dari Kuwait, dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Thailand melaporkan 3,195 kes dengan 3,072 daripadanya telah sembuh dan keluar dari hospital manakala 65 masih menjalani rawatan. -Foto AP | Astro Awani
Thailand melaporkan lima kes baharu COVID-19, semua membabitkan warganegara Thailand yang kembali dari Kuwait, dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan 3,195 kes dengan jumlah kematian kekal 58.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata mereka terdiri -- empat lelaki dan seorang wanita -- tiba di Thailand pada 29 Jun dan ditempatkan di pusat kemudahan kuarantin negeri.

"Setakat ini sejumlah 44 daripada 293 warga Thailand yang kembali dari Kuwait menjalani 14 hari kuarantin diuji positif COVID-19," katanya pada taklimat COVID-19 di sini hari ini.

Thailand melaporkan 3,195 kes -- 3,072 daripadanya telah sembuh dan keluar dari hospital manakala 65 masih menjalani rawatan.

Thaweesilp berkata dua kumpulan pelancong asing -- 20 pengembara perniagaan dari Shanghai dan 32 dari Beijing -- akan tiba di Thailand esok, merupakan kumpulan pelancong asing pertama sejak negara itu membuka pintunya kepada warga asing bermula 1 Julai di bawah inisiatif gelembung perjalanan.

"Pengembara perniagaan akan menjalani 14 hari kuarantin," katanya.

-- BERNAMA