Lelaki 'wanted' mengamuk ketika hendak ditahan polis

Dalam kejadian jam 11 malam itu, lelaki terbabit dikatakan tidak berpuas hati dan berang apabila polis ingin menangkapnya, lalu bertindak agresif.

Ketika kejadian, tiga anggota polis dari Balai Padang Serai sedang melakukan rondaan cegah jenayah di pekan Padang Serai. - Astro AWANI | Astro Awani
Seorang lelaki tiba-tiba naik angin dan mengamuk di kawasan lampu isyarat di pekan Padang Serai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, lelaki terbabit dikatakan tidak berpuas hati dan berang apabila polis ingin menangkapnya, lalu bertindak agresif.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Azhar Hashim, kejadian berlaku ketika tiga anggota polis dari Balai Padang Serai sedang melakukan rondaan cegah jenayah terlihat suspek dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik menghampiri, suspek cuba bertindak melarikan diri dan anggotanya terpaksa mengejar suspek sejauh 200 meter.

Sebaik polis berjaya menangkap suspek, lelaki itu naik marah dan bertindak agresif serta cuba melawan dan memukul anggota polis.

Jelas Azhar, hasil semakan rekod mendapati suspek berusia 31 tahun itu adalah orang dikehendaki (wanted) berkaitan kesalahan dadah.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut.

Katanya, suspek akan dihantar ke IPD Brickfields Kuala Lumpur untuk disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.