Lelaki maut digilis jentera pembajak

Mangsa yang berusia 22 tahun sedang mengendalikan jentera itu dipercayai terjatuh sebelum digilis tayar jentera berkenaan.

Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan namun petugas perubatan yang tiba di lokasi memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia. - Foto JBPM | Astro Awani
Seorang pemuda maut digilis jentera pembajak dalam kejadian di Kampung 20, Penaga, Pulau Pinang pada petang Sabtu.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 22 tahun itu sedang mengendalikan jentera itu dan dipercayai terjatuh sebelum digilis tayar jentera berkenaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pihak bomba menerima panggilan kecemasan jam 2.33 petang berhubung insiden tersebut.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat mangsa.

Sebaik tiba dilokasi kejadian pihak bomba mendapati mangsa tersepit di bawah jentera.

Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan namun petugas perubatan yang tiba di lokasi memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB), untuk proses bedah siasat.

Operasi tamat pada jam 4.04 petang.