Lelaki maut di kaki bukit ketika 'jungle trekking'

Mangsa dikenali sebagai Chee Se Hang, berusia sekitar 43 tahun, dipercayai naik ke atas kaki bukit tersebut untuk melakukan aktiviti 'jungle trekking' pada jam 8 malam.

Pasukan bomba membuat kerja menurunkan mangsa menggunakan peralatan khas dan memberinya bantuan pernafasan. - Foto JBPM Perak | Astro Awani
Niat seorang lelaki melakukan aktiviti 'jungle trekking' berakhir tragedi apabila dia maut di kaki bukit di Jalan Gopeng-Tungzen Industrial Park pada awal pagi ini.

Mangsa dikenali sebagai Chee Se Hang, berusia sekitar 43 tahun, dipercayai naik ke atas bukit tersebut untuk melakukan aktiviti 'jungle trekking' pada jam 8 malam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa melakukan aktiviti bersama-sama dengan seorang lagi rakannya.

"Kami terima maklumat dari pemanggil pada jam 12.23 pagi menyatakan ada seorang lelaki telah pengsan di atas bukit yang dianggarkan berketinggian 500 meter.

"Pasukan bomba yang terlibat tiba di tempat kejadian dan membuat kerja menurunkan mangsa menggunakan peralatan khas.

"Mangsa diberikan bantuan menggunakan alat pernafasan bagaimanapun disahkan maut di kaki bukit oleh pihak Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat pada jam 3.10 pagi.