Lelaki dipercayai mabuk rempuh orang awam di pasar ditahan polis

Seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai memandu secara melulu di kawasan tapak peniaga di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarudin, suspek dipercayai memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang awam cedera. - IPD Hulu Selangor | Astro Awani
Polis menahan seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai memandu secara melulu di kawasan tapak peniaga di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarudin, suspek dipercayai memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang awam cedera.

“Berdasarkan siasatan, lelaki dipercayai mabuk dan seramai lima orang awam telah dikenal pasti mengalami kecederaan yang melibatkan empat orang lelaki dan seorang perempuan berumur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Sementara itu, satu kenyataan media memberitahu bahawa kejadian pada jam 6.35 petang itu, seorang lelaki telah menyerang dengan memaki anggota polis yang bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Bukit Sentosa.

“Suspek turut mengatakan akan melanggar semua orang di Bukit Sentosa sebelum meninggalkan balai polis berkenaan.

“Selang lima minit kemudian lelaki tersebut meluru masuk semula ke Balai Polis Bukit Sentosa bersama beberapa orang awam yang mengejarnya.

“Kesemua lima mangsa yang mengalami kecederaan dilaporkan dalam keadaan stabil,” tambah kenyataan berkenaan.


Setakat ini polis menerima lima laporan orang awam iaitu peniaga gerai yang mengalami kecederaan serta kerosakan gerai.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.