Lebih 62,000 pas perjalanan tanpa had My30 dijual

Tengku Zafrul berkata, jumlah itu dijangka akan meningkat dengan pembukaan semula sekolah secara berperingkat.

Tengku Zafrul berkata, jumlah pas perjalanan dijangka meningkat dengan pembukaan semula sekolah secara berperingkat. - Gambar fail | Astro Awani
KUALA LUMPUR:Lebih 62,000 pas perjalanan tanpa had My30 berjaya dijual sejak pakej itu dilaksanakan pada 15 Julai lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu dijangka meningkat dengan pembukaan semula sekolah secara berperingkat.

"Selepas terjejas teruk ekoran penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah penumpang perkhidmatan awam di bawah kendalian Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang mencatatkan purata 1.1 juta sehari kini beransur naik.

"Jumlah itu meningkat 40 peratus daripada jumlah sebelum PKP selepas kerajaan membenarkan jumlah penumpang 100 peratus kapasiti dalam perkhidmatan rel pada 11 Jun lepas," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, pihaknya percaya langkah pengenalan My30 yang diumumkan sebagai antara strategi utama di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) akan menjadi pemangkin merancakkan semula aktiviti perniagaan sekitar Lembah Klang dan Selangor.

"Dengan perbelanjaan pengangkutan diletakkan pada kadar minima iaitu RM30 untuk 30 hari atau hanya RM1 sehari, sudah pasti ia sangat berbaloi dan cukup berguna untuk bergerak di Lembah Klang," katanya.

Sementara itu, jelas beliau, untuk pakej pas perjalanan pas MyCity, Prasarana akan menurunkan lagi harga daripada RM10 kepada RM5 sahaja manakala untuk pas tiga hari pula dikurangkan daripada RM25 kepada RM15.

"Selain itu, bagi membantu merangsangkan kembali ekonomi, Prasarana turut bersetuju menyediakan peruntukan RM5 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan berskala kecil ditawarkan kepada kontraktor dalam kelas G1.

"Di samping itu, Prasarana yang menjadi operator perkhidmatan Transitl Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya kini sedang mengiklankan lebih 300 peluang pekerjaan pelbagai jawatan untuk berkhidmat dengan rangkaian MRT itu yang akan dibuka untuk fasa 1 pada tahun depan," ujarnya.