Koronavirus: Pas khas untuk pelancong China di Malaysia

Berkuat kuasa 27 Jan lepas, mereka yang mengalami masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar dari Malaysia akan diberikan pas khas.

KHAIRUL DZAIMEE: Mereka akan diberikan pas khas selama dua minggu, atau pun 30 hari, mengikut tempoh tarikh penerbangan keluar. - Gambar fail | Astro Awani
Visa pelancong China dari Wilayah Hubei yang masih berada di negara ini tidak akan dilanjutkan kecuali bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau tiket penerbangan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, berkuat kuasa 27 Jan lepas, mereka yang mengalami masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar dari Malaysia akan diberikan pas khas.

"Ini selaras dengan dasar yang telah ditetapkan kerajaan, iaitu sekatan perjalanan dikenakan ke atas mereka yang datang dari Hubei dan Wuhan.

"Mereka akan diberikan pas khas selama dua minggu, atau pun 30 hari, mengikut tempoh tarikh penerbangan keluar," katanya pada sidang media selepas mengetuai satu operasi penguatkuasaan di sini hari ini.

Katanya, pas khas itu hanya boleh diperoleh selepas mendapat perakuan daripada Kedutaan China susulan sekatan perjalanan dikenakan ke atas pelawat China dari wilayah Hubei susulan penularan koronavirus baharu 2019 (2019-nCoV).

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sekatan perjalanan ke Malaysia yang dikenakan ke atas pelawat China akan diperluaskan meliputi wilayah lain selain Hubei selepas dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk oleh kerajaan China.

Katanya, JIM akan mengambil tindakan sekatan perjalanan sebaik sahaja kerajaan China mengisytiharkan sesebuah wilayah itu dikenakan 'lockdown'.