KKM pertimbang aktiviti sukan ketika PKP - Dr Noor Hisham

KKM sedang mempertimbangkan beberapa kelonggaran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk membenarkan aktiviti-aktiviti sukan yang tidak mempunyai kontak rapat.

Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan orang ramai perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KKM termasuk penjarakan sosial. - Gambar BERNAMA | Astro Awani
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbangkan beberapa kelonggaran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk membenarkan aktiviti-aktiviti senaman yang tidak mempunyai kontak rapat.

Walaupun begitu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan orang ramai perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KKM termasuk penjarakan sosial.

"Aktiviti senaman adalah sebahagian daripada SOP (prosedur operasi standard) dan kita sedang mempertimbangkan sukan-sukan yang tidak mempunyai kontak rapat.

"Bagaimanapun ia adalah tertakluk kepada pematuhan garis panduan termasuk penjarakan sosial dan tiada perhimpunan membabitkan orang ramai," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini pada Rabu.



Dr Noor Hisham menambah, pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu, hanya dua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) setakat pukul 12 tengah hari Rabu yang menyaksikan pertambahan kes.

Dua kawasan itu katanya, Menara City One, Jalan Munshi Abdullah yang mencatatkan pertambahaan satu kes sekali gus menjadikan jumlah kes positif di kawasan itu menjadi 55 kes manakala pusat bandar utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan lima kes.

Sementara lain-lain kawasan PKPD katanya, kekal dengan tiada pertambahan kes baharu.