KKM bentang akta baharu penggunaan tembakau, vape, e-rokok, shisha - Dr Dzulkefly

Kementeriannya kini dalam fasa akhir penelitian untuk menggubal akta berkenaan yang disifatkan lebih menyeluruh serta mampu tangani pelbagai isu terkini.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan akta baharu berkaitan penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac 2020. - Foto Fail | Astro Awani
Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan akta baharu berkaitan penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac 2020.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya kini dalam fasa akhir penelitian untuk menggubal akta berkenaan yang disifatkan lebih menyeluruh serta mampu tangani pelbagai isu terkini.

Jelas Dzulkefly, kemeneteriannya kini di penghujung perbincangan bersama Peguam Negara.

"Kita hampir di penghujung (ketetapan) dan sudah di kamar Peguam Negara sekarang. Kami amat berharap ia akan dapat dibentangkan di Parlimen pada suku pertama bermaksud sebelum Mac hadapan.

"Ini akan menjadi satu Akta yang akan merangkumi bukan sahaja untuk vaper, tetapi juga untuk yang lain umpama e-rokok, vape dan banyak sisi-sisi dan hal yang berkaitan dengan nikotin dan rokok," katanya kepada media ketika hadir pada larian 'Stop The Stigma Run' di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Timbalan Menteri, Dr Lee Boon Chye mengetuai satu jawatankuasa khas yang melihat kepada persoalan mengenai vape dan shisha.

Jawatankuasa ini turut membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Urus Setia Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) dan Jabatan Farmasi KKM bertanggungjawab melihat produk tembakau yang mengandungi nikotin.