Ketua Pengarah WHO puji komitmen KKM perangi COVID-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji kepakaran dan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani wabak COVID-19.

Ketua Pengarah WHO puji komitmen KKM perangi COVID-19 | Astro Awani
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji kepakaran dan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani wabak COVID-19.

Pujian itu dilontarkan sendiri oleh Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi perkongsian di akaun Twitter rasminya pada Rabu.

Jelas Tedros, pihaknya menghargai usaha Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan pasukannya yang bekerjasama dengan WHO dalam memerangi wabak ini.

"Saya bercakap dengan Dr Dzulkefly dan pasukannya tentang cabaran dan progres memerangi COVID-19.

"Saya amat menghargai kerjasama Malaysia dan Dr Dzulkefly serta negara serantau termasuk komitmen pihaknya menjalakan penyelidikan bagi mengakhiri wabak ini," katanya.

BACA: Dua lagi pesakit COVID-19 sembuh sepenuhnya - KKM


[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat


Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut berterima kasih kepada Tedros atas kerjasama yang dijalankan.

"Sekali lagi saya mengesahkan, Malaysia akan terus memberikan komitmen sebagai tanda solidariti memerangi COVID-19.

"Kami akan terus kukuh melakukan penyelidikan berlandskan sains dan fakta," jelasnya menerusi perkongsian Twitter.


BACA: WHO puji kesiapsiagaan Malaysia tangani COVID-19 - Dzulkefly

Setakat hari ini, Malaysia berjaya mencatatkan 15 kes yang pulih sepenuhnya dengan dua kes baharu pulih dicatatkan pada Rabu.

Manakala tujuh lagi kes masih dirawat di beberapa hospital kerajaan.

Dr Dzulkefly dalam satu sidang media pada Rabu memaklumkan, kejayaan pihaknya dalam mengurangkan bilangan pesakit positif COVID-19 dibantu dengan kelengkapan makmal serta pakar dari KKM.

Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga sentiasa dititik-beratkan terutamanya apabila merujuk keadaan semasa COVID-19 di Singapura yang kini memasuki peringkat jingga.