Kerajaan umum Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 berjumlah RM20 bilion

Ia ditunjangi tiga strategi utama bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 ketika ini dapat ditangani dengan berkesan.

Kerajaan umum Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 berjumlah RM20 bilion | Astro Awani
Kerajaan hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang ditunjangi tiga strategi utama bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 ketika ini dapat ditangani dengan berkesan.

Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiga strategi tersebut ialah menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti untuk memastikan ekonomi negara berada di landasan yang mampan.

"Selain merangsang pelancongan dan modal insan, pakej ini juga memberi fokus membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh COVID-19," katanya dalam ucapan beliau ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang bertemakan "Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan", di sini, hari ini.


Tambah beliau, walaupun kesan COVID-19 ketika ini adalah terkawal, namun wabak tersebut telah memberikan impak besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

“Justeru, kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi 2020 bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak ini dapat ditangani dengan berkesan.

“Dalam masa yang sama, beberapa strategi dan rancangan juga akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan,” kata beliau.

Antara yang akan menerima manfaat adalah petugas awam barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 yang diberi elaun khas bermula bulan ini sehingga wabak berakhir, selain bayaran one off kepada pekerja sektor pelancongan seperti pemandu pelancong dan pemandu bas persiaran.

Selain itu, kerajaan akan menyalurkan peruntukan secara langsung kepada rakyat, antaranya dengan pengurangan kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari 11 peratus kepada tujuh peratus, mengawalkan bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) dari Mei kepada Mac dan bayaran tambahan BSH RM100 dikreditkan dalam akaun bank pada Mei dan RM50 disalurkan secara e-tunai.

“Malaysia pernah mengalami situasi sama pada 2003 dengan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003. Namun susulan daripada pengenalan pakej rangsangan ekonomi ketika itu, kedudukan ekonomi mencapai tahap pemulihan kukuh.

“Insya Allah, kita boleh ulangi dengan pakej rangsangan kali ini,” ujar beliau.

BACA: Teks ucapan penuh Pakej Rangsangan Ekonomi 2020