Kemasukan 289 pelajar dari Kuching ke kolej matrikulasi ditangguh - KPM

Keputusan itu dibuat berikutan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti daerah Kuching sebagai zon merah.

Bagi pelajar yang telah membeli tiket penerbangan, KPM akan menanggung kos tiket penerbangan baharu pada kadar kelas ekonomi. | Astro Awani
KUALA LUMPUR:Kemasukan 289 pelajar dari daerah Kuching ke kolej matrikulasi di seluruh negara ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, keputusan itu dibuat berikutan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti daerah Kuching sebagai zon merah semalam.

Susulan itu, kemasukan 154 pelajar Kolej Matrikulasi Sarawak terletak di dalam daerah Kuching juga ditangguhkan.

"Pihak kolej matrikulasi akan menghubungi semua pelajar yang terlibat dengan penangguhan ini. Bagi pelajar yang telah membeli tiket penerbangan untuk tujuan kemasukan ke kolej matrikulasi dan terjejas akibat penangguhan ini, KPM akan menanggung kos tiket penerbangan baharu pada kadar kelas ekonomi.

"Pelajar perlu mengemukakan tuntutan yang disokong oleh dokumen pembelian tiket tersebut," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA