Kadar kesuburan menurun, Malaysia dijangka alami penguncupan penduduk menjelang 2072

Penduduk Malaysia dijangka mencapai kemuncak 46 juta orang menjelang tahun 2071.

Menurut Hanna Yeoh, adalah penting untuk kerajaan menggalakkan penyertaan tenaga buruh terutamanya dalam kalangan wanita. - Gambar BERNAMA | Astro Awani
Penduduk Malaysia dijangka mencapai kemuncak 46 juta orang menjelang tahun 2071 sebelum mengalami penguncupan penduduk (population shrinkage) pada tahun 2072.

Keadaan itu bakal menjadi realiti sekiranya kadar kesuburan di negara ini terus menurun dengan kadar semasa dan tiada langkah intervensi diambil.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, situasi menjadi semakin parah berikutan ia turut mengurangkan sumber tenaga kerja, sekali gus menjejaskan pembangunan negara.

Justeru. kata beliau, adalah penting untuk kerajaan menggalakkan penyertaan tenaga buruh terutamanya dalam kalangan wanita.

“Oleh sebab itu, kita utamakan dahulu tahun ini untuk mewujudkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di tempat kerja dan agensi-agensi kerajaan.

“Tahun ini kita membelanja RM10 juta (untuk menambah TASKA) dan kita (kerajaan) akan tambah (peruntukan) setiap tahun dan akan memohon kepada kerajaan bagi memberi keutamaan kepada sektor ini kerana wanita tidak boleh tinggal di rumah sahaja memandangkan perlu menanggung kos untuk menyara anak-anak.

“Jadi, kita perlu mewujudkan ekosistem bagi membantu mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dan pada masa sama bekerja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Cabaran Utama Kependudukan di Malaysia di Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), hari ini.

Seminar tersebut dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan United Nations Population Fund (UNFPA) sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2019, yang disambut pada 11 Julai setiap tahun.

Tahun ini, Sambutan Hari Penduduk Sedunia bertemakan “25 tahun Persidangan Antarabangsa Kependudukan dan Pembangunan: Mempercepatkan Janji”.