JPBN Miri lancar ops selamatkan gelandangan

JPBN Miri melancarkan Operasi Menyelamatkan Gelandangan di sekitar bandar raya ini bagi memastikan mereka dilindungi dengan selamat serta diberi makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakaan.

Operasi bermula pukul 9.30 pagi sehingga 3.30 petang menyaksikan seramai 35 orang gelandangan ditemui dan diselamatkan.  Gambar Astro AWANI | Astro Awani
Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Bahagian Miri pada Sabtu melancarkan Operasi Menyelamatkan Gelandangan di sekitar bandar raya ini bagi memastikan mereka dilindungi dengan selamat serta diberi makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Operasi bermula pukul 9.30 pagi sehingga 3.30 petang menyaksikan seramai 35 orang gelandangan ditemui dan diselamatkan.

Mereka kemudiannya dibawa menaiki kenderaan polis untuk dibawa ke dewan Bulan Sabit Merah (BSM) di Jalan Bulan Sabit, di mana mereka akan ditempatkan sepanjang PKP ini dan menjalani ujian saringan dadah dan kesihatan.

Diketuai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri, operasi ini turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri, Bulan Sabit Merah (BSM) serta Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.

Pegawai JKM Bahagian Miri, Lau Ngee Wei memberitahu, daripada 35 orang yang diselamatkan itu, 14 orang yang berusia dari 28 hingga 52 tahun, sudah dikenal pasti identiti mereka.

“Tiga daripada mereka ialah orang kurang upaya (OKU), manakala empat lagi mempunyai masalah mental dan baki yang lain sihat daripada aspek fizikal,” ujarnya.

JKM juga sudah mengenal pasti dua OKU, seorang lelaki dan wanita yang juga merupakan penerima bantuan jabatan tersebut.

Operasi menyelamat bermula dari eMart Tudan, kemudian ke Lutong, pusat bandar dan seterusnya ke pusat komersil Morsjaya dan Taman Tunku.

Sementara di pusat bandar, tumpuan pencarian adalah di lorong-lorong belakang dan kaki lima premis di mana mereka kerap dilihat, selain kawasan Pasar Central, China Town dan juga kawasan taman awam termasuk di sebelah Pusat Maklumat Pelawat (VIC) serta Jalan Bendahara.

"Sepanjang tempoh PKP ini juga kita akan menyiasat sama ada mereka mempunyai ahli keluarga di sini atau sebaliknya.

“Jika mereka ada ahli keluarga di sini atau ada ahli keluarga yang datang menjemput mereka, maka kita akan lepaskan mereka pulang. Jika tidak kita akan tempatkan mereka di sini sehingga PKP berakhir," tambahnya.

Menurut Lau, jika PKP dipanjangkan berdasarkan situasi semasa wabak COVID-19, mereka tetap akan terus ditempatkan di situ sehingga tempoh PKP tamat.

Mengenai pemeriksaan kesihatan pula, Lau berkata bagi yang menghidapi masalah kesihatan mental dan dapat dikawal serta hanya memerlukan bantuan ubat-ubatan sahaja, maka individu itu akan ditempatkan di pusat tersebut.